Stesen Keretapi Lama : Tetamu Malam



Dari jauh kedengaran sayup-sayup siulan keretapi dari arah Selatan menandakan ketibaannya. Lewat hampir setengah jam. Mungkin disebabkan cuaca. Siulan yang memanjang itu disambut dengan guruh yang agak kuat, berserta hujan renyai yang mula merebas semula namun samar-samar cahaya lampu mula kelihatan dan keretapi dari selatan itu pun perlahan-lahan berhenti. Harun mencapai payung lalu berlari mendekati kepala keretapi.

"Aku stop sepuluh minit. Tadi ada masalah sikit. Nak check tengok apa patut." Terang Yazid atas kelewatannya sambil melompat turun diikuti Chai, pembantunya.
"Apa masalah tadi?"
"Entahlah, tersangkut dekat Pekan Batu sana tu, tak boleh bergerak. Tiba-tiba je keretapi ni jalan slow pastu stop terus."
"Abih tu camne boleh gerak. Apa kau buat?"
"Aku tak buat apapun. Tiba-tiba je dia elok sendiri."
"Heran gak. Selalu ke jadi?"
"Tak pernah, sepanjang aku kerja, ni first time dia buat hal. Memang pelik betul. Dah la hujan dari siang tak berhenti."

Harun menyertai Yazid dengan kerja-kerja pemeriksaan bersama Chai. Dari ujung kepala sampai ujung ekor keretapi mereka periksa satu persatu. Tak ada apa kerosakan yang ditemukan. Semuanya elok seperti biasa.
"Tak paham aku," rungut Yazid.  "Tak ada apa pun yang rosak. Apsal berenti tadi? Dahla nak jalan jauh lagi ni..."
"Harap tak ada apa-apa jadi. Kau relakslah."
"Macam-macam hal... eh kau sorang ke malam ni?"
"Ha ah, Jalil bini dia beranak."
"Hahaha... asik beranak je dorang tu. Setaun sekali. OKlah Run. Kitaorang jalan dulu."
"Rezeki," jawapan Harun disambut ketawa mereka bertiga.

Perlahan-lahan keretapi malam itu bergerak meninggalkan stesen. Harun menghantar dengan pandangan kosong. Suasana kembali lengang bila suara geseran roda dan rel semakin jauh dan menghilang. Kini hanya desiran angin sejuk yang kedengaran bersama titis-titis hujan yang tak mahu berhenti. Seketika Harun memandang sekeliling. Gelap. Angin yang menerpa wajahnya, membuat Harun terasa seram sejuk, lantas dia melangkah masuk ke dalam stesen. 

"Assalamualaikum..." Rasa nak runtuh jantung Harun bila disapa satu suara. Cahaya mentol malap tak dapat menerangi keseluruhan ruang menunggu stesen, jadi Harun tidak sedar akan kehadiran seseorang di stesen tersebut. Satu tubuh yang tinggi berjalan ke arahnya. Kaki Harun terpaku. Lidahnya kelu untuk menjawab salam.

"Pakcik nak tumpang duduk sini. Hujan, tak dapat jalan. Lampu suluh Pakcik pulak mati."
Seperti dipukau, Harun mendapatkan orang tua yang kemalaman itu. Dia kelihatan sangat letih dengan pakaian yang lusuh. Hanya berkain pelikat dengan kot hitam yang dah bertukar warna kelabu, sama seperti warna songkok yang dipakainya.

"Pakcik dari mana, nak ke mana?" Dalam debar, Harun memberanikan diri bertanya. Dia tak sedar bila masanya orang tua itu di situ dan entah berapa lama. 

"Kau orang baru sini ke?" Soalan Harun tidak dijawab.
"Ye, saya baru dua bulan pindah sini. Hmm... saya Harun, Pakcik?" Tangan Harun hulurkan. Sepintas lalu kilat menyambar berserta guruh. Mentol malam yang menerangi ruang tunggu stesen usang itu terkelip-kelip sekejap. Tak dapat Harun melihat dengan jelas wajah orang tua tersebut.
"Panggil aku Pak Man. Lama dah aku tak datang sini. Dulu ni lah tempat aku." Jawab orang tua tersebut tanpa menyambut salam yang dihulur Harun.
"Oh... Hmm... maksud pakcik, pakcik turun dari keretapi tu tadi?" Seingat Harun, Yazid tidak memberitahu dia langsung ada penumpang yang akan turun di situ malam itu. 
"Aku dari Pekan Pulai. Datang sini nak menziarah sedara."
"Jauh... Ada orang datang jemput Pak Man?" Orang tua itu menggeleng. Harun menjadi semakin pelik. Bila masa orang tua ni turun dari keretapi sedangkan waktu mereka memeriksa keretapi itu tadi, langsung tak nampak bayang-bayang manusia yang turun. 
"Tak siapa tau aku datang."
"Hmm... Kalau macam tu biar saya buatkan Pak Man kopi dulu. Mesti Pak Man penat. Jomlah masuk dalam pejabat. Kat sini hujan, tempias kuat."
"Tak payah susah-susah. Aku tak haus. Hujan pun air." Harun yang bersedia untuk ke dalam mematikan hasratnya dengan kata-kata Pak Man itu, lalu dia kembali duduk.
"Apa yang kau tau tentang tempat ni?" Tiba-tiba Pak Man bertanya dalam nada tegas. Harun menggeleng.
"Tak ada apa Pakcik. Saya baru dua bulan kat sini, lagipun saya tak ramai orang saya kenal. Stesen ni pun tak de sangat orang datang. Saya pulak jarang pergi pekan...  tak ramai kenalan saya yang rapat kat sini kecuali kawan kerja. Tempat ni sunyi..."
"Dulu tak sesunyi ni. Tapi lepas satu, satu kejadian, ramai orang pindah keluar, tinggalkan pekan ni." Orang tua yang mengenalkan dirinya sebagai Pak Man itu berdiri dan berjalan perlahan menuju ke hujung bumbung. Dia menadah tangan menyambut hujan yang jatuh, yang semakin lebat. Angin menerpa wajah Harun, membawa tempias ke dalam ruangan kecil tempat penumpang menunggu keretapi. Sekilas Harun memandang beg kusam milik Pak Man. Sarat nampaknya beg tersebut. Nampak padat. Harun berkira-kira apakah agaknya isi kandungan beg kuning tersebut.

"Jangan sesekali kau tertipu dengan apa yang kau nampak dan apa yang tidak." Tiba-tiba Pak Man menyergah, menepuk bahu Harun yang terhanyut dalam fikiran-fikiran sendiri.
"Saya tak faham..."
"Sana tu..." Pak Man menundingkan jarinya ke arah kiri stesen. Gelap. Hanya itu yang Harun nampak dan tahu selain pokok-pokok bunga yang hidup segan mati tak mau melentok ke kiri kanan bila di hembus angin. 
"Kau tak nampak apa yang aku nampak. Tapi aku tau apa yang kau dah diberitahu."
Kata-kata Pak Man yang disertai ketawa garau membuat Harun semakin bingung. 
"Bukan salah Maya atau Kamsiah, apalagi Wak Karto yang terlalu sayangkan bini-binya."

Dada Harun mula berdebar, teringatkan cerita Muthu dua bulan dulu. Air liur ditelan perlahan. Berada betul-betul di bawah cahaya mentol malap, barulah Harun dapat melihat wajah Pak Man yang berparut panjang di pipi kanan. Mata tuanya yang terpelosok ke dalam kelihatan amat cengkung.
"Sumpahan pekan Lama belum berakhir. Mungkin takkan berakhir langsung."
"Apa sebenarnya yang dah terjadi kat sini, Pak Man? Siapa pembunuh Maya, Wak Karto? Apa dah jadi dengan Kamsiah?"

"Kamsiah mati dua minggu lepas dalam hospital gila. Usia tuanya dah tak sanggup menanggung lagi tekanan dan tuduhan yang dipikulnya."
"Innalillah..." 
"Kamsiah dan Karto ada seorang pewaris. Hamdan. Satu-satunya anak lelaki diaorang. Tapi tak siapa tau mana budak tu sekarang. Lepas dia lari dari rumah bila Karto nikah dengan Maya, dia tak pernah balik-balik lagi."
"Muthu cerita, Maya tu bini muda, terlalu muda untuk Wak Karto..."
"Betul. Sebab itulah Hamdan lari tinggalkan pekan ini, tinggalkan keluarga sebab tak sanggup tengok kekasihnya bertukar jadi mak tiri bila Wak Karto mengambil Maya jadi bini muda. Kamsiah redha. Tapi Hamdan terseksa. Maya pulak terpaksa demi hutang bapaknya yang melangit kat kampung, kat Bandung sana."
"Maya dari Bandung?" 
"Dia datang sini Hamdan yang bawak. Dorang berkenalan masa Hamdan belajar sekolah pondok di Bandung. Hamdan cuba larikan Maya dari keluarganya yang banyak sangat masalah tapi diaorang kena tangkap. Samseng-samseng tu tangkap, Maya dirogol depan mata Hamdan yang diikat dan dibelasah dekat tiang. Maya diseksa demi menebus hutang-hutang bapaknya yang kaki judi. Lepas kena pukul teruk, Hamdan terus bawak Maya lari ke pekan ni meminta tolong Karto. Masa tu lah Karto nampak Maya sampai tergoda dengan kecantikan budak tu lalu dia ambik kesempatan jadikan Maya bini nombor dua."
"Hamdan tak buat apa-apa, tak tentang keputusan bapak dia?"
"Dia cuba tapi Karto mengugut tak mau tolong..."
"Mungkin kerja Hamdan, balas dendam?"
Pak Man menyalakan paip. Asap dihembus perlahan-lahan. Muka Harun ditenung tajam.
"Kesian Kamsiah. Dia terseksa demi menanggung dosa orang lain."

Mati akal Harun dibuatnya mendengar cerita Pak Man. Keanehan malam itu masih belum terungkap, ditambah pulak dengan misteri keluarga Wak Karto yang tak tersingkap... Harun merasa pelik... mengapa polis tidak menjalankan siasatan terperinci terhadap kes tersebut? Jika benar Kamsiah tak bersalah, mengapa dia dijatuhkan hukuman sehingga menjadi tekanan jiwa yang meragut nyawanya? Ke mana pula Hamdan? Tidakkah dia tahu tentang berita kematian keluarganya, kekasihnya? Dan siapakah Pak Man ini yang sebenarnya? Mengapa dia kembali ke pekan Lama? Mengapa malam ini?

"Pinjamkan aku lampu suluh engkau. Esok aku pulangkan. Aku mesti ke pekan sekarang."
Jam buruk yang masih befungsi berdetik setia di dinding usang stesen keretapi Lama menunjukkan hampir jam dua pagi. Ke mana arah orang tua ini dalam keadaan hujan lebat dan kegelapan yang menyelubungi alam? Dalam pertanyaan-pertanyaan yang tak berjawab, Harun berjalan masuk ke dalam pejabat stesen untuk mengambil lampu suluh seperti yang diminta oleh Pak Man. Mujur Harun ada simpan lampu suluh lebih di stesen, sekiranya apa-apa berlaku.

"Hujan lebat lagi ni, Pak Man..."
"Tak pe. Aku ada payung." Lampu suluh bertukar tangan.
"Hujan itu juga air." Pak Man memalingkan mukanya memandang Harun dengan satu senyuman.
"Jangan percaya dengan apa yang kau nampak, dan dengan apa yang kau tak dapat lihat."



"Harun, harun... hoi bangun... hoi... Run." Majid yang datang untuk memulakan tugasnya pada jam enam pagi agak terkejut bila melihat Harun tidur di atas simen ruang menunggu dalam keadaan baju yang basah kuyup.
"Woi Harun... bangunlah..." Dia menggerak-gerakkan badan Harun.
"Ohhh kau... Majid. Kul berapa dah ni?" Harun duduk sambil menyapu mukanya dngan tangan.
"Lima minit pukul enam. Aku baru sampai. Apahal kau tidur atas lantai dengan basah kuyup ni?"
"Ehh... lantai ke? Bukan dalam ofis ke ni?"
Majid menepuk-nepuk muka Harun.
"Ni, tempat orang menunggu. Ofis sana tu. Gila apa engkau tidur atas lantai? Baju basah kuyup..."
Harun cuba berdiri. Dia terasa pening dan kesejukan. Cepat-cepat dia berlari ke dalam pejabat untuk melihat laporan malam tadi. Ye, betul, Yazid berhenti dengan Chai periksa keretapi. Lewat setengah jam, betul. Tak ada apa kerosakan pada keretapi yang menuju ke Utara dan tak ada penumpang dilaporkan turun atau naik.
Cawan kopi masih berisi penuh. Sejuk, sudah tentu. Harun mengangkat teko kopi. Separuh penuh, seperti sebelum keretapi malam berhenti malam tadi.

"Apahalnya ni Run? Kau deman ke?"
"Tak tau... aku tak tau camne aku leh tido kat luar atas simen, dengan hujan sampai basah kuyup cam ni..." Jawab Harun. Uniform lencun yang masih melekat dibadan dibuka lalu tubuhnya yang kurus itu dikesat dengan sehelai tuala yang tersangkut di kerusi sebelum menyarung T-Shirt lain.
"Masa kau sampai sini tadi, aku sorang je ke?"
"Ha lah, kau sorang je tergolek atas simen tu. Ingat dah mati ke, pengsan ke. Terkejut aku. Aku ingat tersepak kucing ke apa, rupanya kau. Mana ada orang lain."
"Pak Man?"
"Pak Man mana?"
"Pak Man pinjam lampu suluh aku..."
"Kau ni mengigau aku rasa. Ni bukan lampu suluh kau ke? Ni dua-dua ni?" Majid mengeluarkan ke dua lampu suluh berwarna biru milik Harun. Satu diambilnya dari dalam laci dan satu lagi memang terletak di atas meja.
"Payung kau pun ada ni ha. Tak bertutup. Cuba cerita, apahal sebenarnya..."

Harun melangkah keluar dari bilik pejabat menandang langit yang masih gelap. Hujan dah lama berhenti namun sejuk pagi masih terasa. Kemudian dia berjalan ke arah tempat menunggu. Tiada apa yang pelik. Semuanya kelihatan seperti biasa, sunyi dan lengang. Bangku-bangku usang tetap setia menanti pengunjung yang tak tiba. Jam tua yang kukuh melekat di dinding masih berdetik seperti jantung yang tak akan mati. Matanya beralih ke arah deretan pokok-pokok bunga penghias stesen sepi. Di situ berdiri Pak Man malam tadi, menadah tangan menakung hujan. Lampu suluh Harun nyalakan. Dia menghampiri pokok-pokok bunga, ke arah Pak Man menundingkan jarinya.

"Sana tu..." Terdengar suara Pak Man di telinga Harun. Dia kini berdiri di tempat yang ditunjuk Pak Man.
"Kau tak nampak apa yang aku nampak. Tapi aku tau apa yang kau dah diberitahu."
"Bukan salah Maya atau Kamsiah, apalagi Wak Karto yang terlalu sayangkan bini-binya."

"Majid... Jid..." Harun melaung nama Majid.
"Kenapa?"
"Kat mana tapak warung dulu... warung yang pernah ada kat sini..."
"Warung? Bila masa ada warung kat sini... kau mimpi apa ni Harun oi..."
"Ahhh... tak ada apalah... pening aku..."
"Baik kau balik, mandi air panas, rehat. Mau demam kau nanti tido atas simen, berhujan semalaman. Mesti ko mimpi ntah apa-apa..."
"Hmmm... agaknyalah... mimpi."
"Ha, baliklah... risau bini kau nanti lambat balik."

Mereka kembali masuk ke dalam pejabat. Harun mengemas barang-barangnya, mengosongkan teko  dan cawan kopi yang tak luak kemudian dia mengambil beberapa ketika untuk membersihkan pekakas tersebut.
"Penuh lagi bekal kau ni, Run. Tak makan ke?"
Harun berpaling menghapiri Majid yang duduk dekat meja. Bekas nasi yang dibekalkan Kiah Harun pegang. Diteleknya baik-baik. Masih ada sambal dan sayur. Nasik tak terusik.

"Kenyang makan capati..." Ujarnya perlahan.
"Haha, capati. Macam-macam hal la kau ni Harun. Pandai bini kau buat capati?"
"Muthu..."
"Hmm Muthu lagi... Ha, ni Jalil cakap dia ambik cuti lagi. Berapa lama aku tak tau, sebab malam tadi dia terpaksa gerak pegi Bandar Malim. Bini dia kena masuk hospital. Ada masalah."
"Masalah apa? Baru bersalin, kan?"
"Ha ah... bersalin bidan kampung. Darah tak henti keluar dari semalam katanya. Rosmah mengadu sakit perut. Membuak-buak darah keluar. Tak taulah aku. Lima anak Jalil sebelum ni semua Hajah Kamariah yang uruskan masa si Rosmah bersalin. Tak pernah jadi apa. Yang nombor enam ni, lain pulak halnya."
"Hajah Kamariah ke yang menyambut?"
Majid angguk. Rokok dinyalakan. Harun tak kenal, malah tak pernah jumpa pun dengan Hajah Kamariah. Nama itu dia dengar dari Yati masa mula-mula dia beli roti canai dulu, itu pun sebab dia terdengar perbualan antara Yati dengan seorang perempuan separuh umur tentang Hajah Kamariah yang menyambut jiran Yati bersalin pada malam sebelumnya.
"Kat sini Hajah Kamariah sorang je la yang diharap untuk menyambut budak. Nak pergi pekan yang paling dekat pun dah dekat setengah jam... itu pun mana ada hospital. Nun sana tu ha, Bandar Malim baru ada hospital kerajaan, punya jauh. Nasib malam tadi kawan tu dapat kereta, budak posmen tu dapat pinjam kawan dia punya kereta, dapatlah bawak si Rosmah ke hospital. Kalau tak, entah apa nasib si Rosmah tu. Hai... Nasib aku belum kawin. Kalau aku dah kawin tak nak aku bawak bini aku tinggal sini. Susah kalau apa-apa hal..."

Harun memikirkan kebenaran di balik kata-kata Majid. Kalaulah ada rezeki dia dengan Kiah dalam masa terdekat ni, tak rela Harun biarkan Kiah dirawat bidan kampung hingga mengakibatkan masalah seperti yang dihadapi Rosmah, bini Jalil. Harun mengeluh. Dia baru dipindahkan ke situ. Mana mungkin permohonannya akan diterima jika dia meminta untuk ditukarkan ke stesen lain, yang dekat dengan bandar. Namun apabila mendengar cerita Majid berserta apa yang terjadi malam tadi, entahkan nyata, entahkan mimpi, rasanya mahu saja Harun bawa Kiah pindah dari situ cepat-cepat.

"Kau baru dua tahun kerja sini, kan?"
"Ha ah... aku pernah mintak tukar, tapi tak dilayan. Tak de tempat kosong katanya."
"Masa mula-mula dulu kau duduk kat kuarters?"
"Tak, aku tak pernah duk kuarters tu. Kuaters tu untuk orang dah kawin je. Yang bujang kena carik rumah sewa sendiri, tapi aku dapat elaun rumah."
"Oooh macam tu. Tak pelah, aku balik dulu, Jid. Risau aku Kiah sorang kat rumah tu."
"Ha yelah. Kalau kau demam, tak dapat kerja malam karang bagitau awal-awal."
"Ok, ok. Jangan risaulah, aku tak de apa-apa. Aku datang malam karang."

Harun memanjat tangga menuju ke tempat letak basikal yang beratapkan zink yang bocor sini sana, bertiangkan kayu yang dah berkulat. Jalan raya yang masih basah kesan hujan malam tadi seperti biasa sunyi sepi. Tak ada langsung kenderaan yang melintas. Harun melihat jam di tangan. Dah pukul 6.30, masih gelap. Perlahan-lahan dia mengayuh basikal membelah kabus pagi. Dalam otaknya, Harun masih memikirkan situasi yang berlaku sepanjang malam tadi. Pertemuan dengan Pak Man seolah-olah benar-benar terjadi, tetapi mana mungkin kerana lampu suluh yang dipinjamkan kepada Pak Man masih berada dalam laci. Dan mengapa dia tidur di lantai ruang menunggu? Bukankah selepas Pak Man pergi, dia masuk ke pejabat, minum kopi, dengar radio sambil baca akhbar? Bukankah nasi yang Kiah bekalkan habis di makannya malam tadi? Harun benar-benar keliru. Dia melajukan kayuhan, memaksa basikal tua itu membawanya ke destinasi dengan segera.

"Jangan percaya dengan apa yang kau nampak, dan dengan apa yang kau tak dapat lihat."

Suara Pak Man menerpa lagi di pendengarannya.


SHARE THIS

Author:

Himpunan kisah-kisah misteri dalam hidup manusia dan juga hantu.

Previous Post
Next Post