Stesen Keretapi Lama : Polong



Harun sampai di rumah, disambut Kiah dengan senyuman lesu. Borhan yang berada dalam pelukan Kiah menyambut sama kepulangan Harun pagi itu. Sepantas kilat semua kekusutan dan kebingungan yang bermain dalam fikiran Harun hilang ditepis wajah isterinya. Sempat juga Harun menoleh ke rumah Muthu. Senyap sunyi. Masih awal untuk memulakan hari. Motor cup Honda yang sering ditunggang Muthu ada tersadai dalam garaj berbumbungkan kanvas.

"Kenapa ni, muka nampak macam tak gembira abang balik?" Sambil menyerahkan beg sandang kepada Kiah, Harun mengusap rambut bininya itu dengan penuh kasih sayang.
"Lena tidur?" Tanya Harun lagi. Kiah menggeleng. Muka Harun dipandang sayu, soalan Harun diabaikan.
"Basah seluar abang ni, hujan ke?" Kiah melangkah ke dalam bilik, mengambil sehelai kain pelikat untuk menggantikan seluar suaminya yang masih basah.
"Hujan dah lama reda. Basah ni kena hujan malam tadi tak kering-kering lagi. Abang tak ada seluar nak ganti kat sana."
"Ha, tulah Kiah dah cakap bawak seluar spare. Ni dah semalaman pakai seluar basah, demam abang nanti. Dah cepat tukar seluar tu. Kiah sediakan air panas, abang mandi, lepas tu kita sarapan sama-sama."
Harun menurut tanpa membantah. Tak mahu dia runsingkan fikiran Kiah dengan peristiwa yang dialaminya malam tadi.

Sementara Harun mandi, Kiah menyediakan nasi goreng dan air kopi untuk mereka berdua. Beg sandang Harun dibuka, dicampakkan uniform basah ke dalam bakul baju kotor. Bekas makanan bekal malam tadi Kiah ambil dan basuh. Lega hati Kiah bila Harun dah sampai rumah. Tidaklah dia berasa takut lagi. Kiah tersenyum kecil, gembira melihat makanan yang dia bekalkan habis licin. Tentu hujan malam tadi membuat perut Harun lapar, bisik hati Kiah. Hari ini Kiah bercadang mahu ajak Harun ke pasar selepas sarapan untuk membeli barang dapur. Banyak keperluan dapur yang dah habis. Kalau Harun tak penat, bolehlah Kiah mintak temankan. Tapi kalau Harun nak rehat, terpaksalah Kiah pergi sendirian. 

Nasi goreng panas Kiah hidangkan di atas meja bersama seteko kopi. Harun yang baru keluar dari bilik air terus mendapatkan isterinya. Kiah dia peluk dan dia cium berkaki-kali dipipi.
"Rindu?" Tanya Kiah, manja.
"Mestilah... rindu sangat. Hmmm.... sedap bau nasik goreng ni. Kiah kalau pasal masak memang nombor satu." Harun menarik kerusi sambil Kiah mencedokkan nasi buatnya. 
"Abang lapar sangat... "
"Pukul berapa abang makan nasik yang Kiah bekalkan malam tadi?" 
Soalan Kiah membuat Harun terpana. Bukankah bekas nasik itu masih penuh? Dari tangan Majid Harun ambil bekas nasik itu tadi, memang masih penuh, tak berusik langsung.
"Tidak, aku tak salah pandang atau dengar." Hatinya berbisik.
"Awak dah kemas beg abang ke?"
Untuk menyorokkan kebingungannya Harun pura-pura bertanya sedangkan dia dah faham benar rutin Kiah tiap kali dia balik kerja. Pasti beg sandang Harun Kiah buka, keluarkan bekas bekalan, baju uniform akan disangkut atau diletakkan dalam bakul untuk dibasuh. 
"Dah siap semua masa abang mandi tadi. Sedap tak sayur pucuk manis masak lemak dengan keledek tu?" Kiah meminta pujian.
"Favourite abang tu... kalau Kiah masak apapun sedap. Hmm... Kiah boleh masakkan abang hari ni pucuk ubi masak lemak pulak. Sama sambal belacan, ikan masin sepat macam semalam... boleh?"
"Boleh... tapi kita kena pergi pasar. Barang dapur dah banyak yang abis. Ikan sepat tu last dua ekor semalam, takde lagi dah. Boleh abang temankan Kiah atau abang nak rehat?"
"Kita pergi sama-sama lepas sarapan. Balik nanti baru abang rehat. Abang tak penat pun, malam tadi tidur nyenyak."
Kiah gembira mendengar jawapan Harun. Sebenarnya dia tak suka ke pasar sendirian. Rasa janggal seperti ada mata yang memerhati gerak langkahnya. Dia rasa lebih selamat bila Harun bersama.

Waktu menikmati sarapan pagi, Kiah menceritakan kepada Harun tentang malamnya yang sepi. Katanya dia merasa amat takut bila guruh dan kilat tak henti membawa hujan lebat hinggakan Bob yang berada dalam pelukannya turut menyembunyikan diri dalam selimut.
"Nanti abang periksakan lampu dekat ruang tamu tu, ye. Malam tadi Kiah takut sangat, tiba-tiba lampu terpadam, TV terpadam..."
"Blackout la tu... tapi tempat abang tak blackout pun."
"Tak bang, tak blackout. Sebab lampu dalam bilik elok terpasang. Lampu dapur pun memang selalu kalau abang takde Kiah biarkan menyala. Lampu depan ni je. Sampai pagi ni ha, tak hidup. TV Kiah belum pasang lagi."
"Yelah, pasni abang tengokkan."
"Bang... malam tadi, ada orang ketuk pintu. Dua kali. Kiah tak bukak."
"Manju kot?"
"Tak bang... pukul 1.30 Kiah tengok jam masa tu. Takkan Manju. Tak pernah malam-malam Manju ke, Muthu ke ketuk rumah."

Harun terdiam. Peristiwa malam tadi di tempat kerja kembali bermain difikiran. Jam 1.30 pagi... waktu itu dia masih berbual dengan Pak Man. Hujan pun masih mencurah-curah tak berhenti.
"Agaknya bunyi burung ke tikus atas siling ke... tak ada apalah tu. Tak ada apa jadi, kan?"
"Memang tak jadi apa. Tapi bang... bunyi ketuk pintu tu betul. Kuat sangat. Macam nak runtuh pintu. Kalau Manju ke Muthu ke mesti diaorng panggil nama Kiah. Ni tak, diam je. Tak de suara."
"Hmm..." Harun menghembus nafas perlahan, cuba menenangkan hatinya sendiri. Sesungguhnya kejadian yang dia alami sewaktu bertugas malam tadi masih mengganggu fikirannya. Keretapi lewat sebab mati tiba-tiba, Pak Man, lampu suluh, bekal nasik yang dia sendiri tak pasti apakah dia yang habiskan bekalan tersebut atau apa... Harun celaru. Kopi hitam yang panas Harun hirup perlahan kemudian dia menyandarkan badannya ke kerusi, merenung muka Kiah yang cuba meyakinkannya tentang peristiwa ketukan pintu.

"Bila tinggal sorang-sorang, sunyi, hujan lebat pulak... macam-macamlah yang kita fikirkan terutama benda-benda yang seram. Perasaan Kiah je tu. Asalkan Kiah tak apa-apa, sudah. Abang pun sorang malam tadi kat tempat kerja. Jalil bini dia bersalin. Majid cakap ambik cuti lagi sebab malam tadi dorang kena pergi hospital kat Bandar Malim. Rosmah pendarahan tak henti." Tajuk perbualan ditukar Harun untuk membuat Kiah lupa kepada perkara-perkara yang menakutkan dirinya sendiri.
"Ya Allah, ye ke bang...kesiannya..." Harun menganggukkan kepalanya kemudian dia ke ruang tamu untuk memeriksa lampu seperti yang dipinta Kiah.
"Starter ni rosak ha, sayang..." Harun ketawa.
"Kan abang dah cakap, tak ada apa-apa. Cuba buka TV tu." Kiah segera buat apa yang disuruh.
"Ha, tengok, elok je. Tak ada apa. Dah lah, jom kita pergi pekan. Beli starter sekali."


"Bulan depan bapak bagi kereta buruk dia tu, tak payah lagi kita jalan kaki pergi pekan." Kata Harun kepada Kiah. Tangan Kiah dipimpin sepanjang perjalanan ke pekan. Jauh dalam hati Harun, dia kesian melihat Kiah penat berjalan. Hasrat untuk mengambil kereta buruk milik bapaknya sendiri, Harun suarakan untuk mempermudahkan mereka berdua ke sana ke mari. Dapatlah nanti dia bawa Kiah jalan-jalan bila cuti atau bila-bila ada kelapangan. Harun tau, mesti Kiah sunyi dan bosan hari-hari duduk di rumah saja. Pak Din, bapa Harun bersetuju menyerahkan kereta buruknya untuk kegunaan Harun dan Kiah. Kereta buruk itu, daripada jadi bangkai ada baiknya diserahkan kepada Harun yang masih berrtatih dalam hidupnya yang baru.

Selepas membeli apa yang patut, mereka duduk minum teh tarik di warung Ramli. Tak ramai pelanggan waktu itu. Yati datang menyertai Harun dan Kiah untuk berbual kosong. Dah tentu bila Yati buka mulut, ada saja berita terbaru yang akan disampaikan.

"Aku dah cakap, Hajah Kamariah tu memang membela... Hey, korang tak tau ke, polong tu yang makan darah Rosmah."
"Astagfirullah, kau ni Yati... tak baik fitnah." Kiah membidas. Memang Kiah tak kenal dan tak pernah jumpa Hajah Kamariah, tapi itu bukan alasan untuk memfitnah hanya kerana satu kegagalan.
"Kan dia Hajah, takkan bela polong," sambung Harun, menyokong kata-kata isterinya.
"Hah, korang ingat yang pegi aji, yang dah naik aji tu semua jadi malaikat. Hey, korang tau tak, aku dengar, masa kat Mekah sana, dia belajar ilmu hitam."
"Manalah awak dengar semua ni, Yati? Mulut awak tu kalau tak kepoh sana sini memang tak sah." Ramli datang berdiri dekat meja mereka. Rokok dinyalakan. Dihulurkannya satu kepada Harun.
"Sunyi hari ni, Ram."
"Pagi tadi sibuk sikit. Ni dah reda."
"Abang pun tau kan, Hajah Kamariah tu... misteri. Duduk sorang-sorang kat ujung kampung tu, entah apa dibuatnya."
"Baru ni jadi, sebelum  ni tak pernah pun kejadian macam ni. Awak tu jangan nak percaya cakap cakap orang."
"Baru ni abang cakap? Tak ingat ke tahun lepas..."

Satu suara wanita memberi salam mematikan perbualan mereka. Wanita tua berpakaian serba putih dengan payung hitam ditangan kanan sementara tangan kiri menjinjing bakul berisi sayur mendekati mereka.

"Waalaikumsalam... Mak Aji, jemput duduk." Pelawa Ramli. Sebuah kerusi ditarik untuk mempersilakan pelanggannya.
"Minum apa Mak Aji?" Mesra Ramli bertanya.
"Neskepi."  Wanita tua itu menjawab sambil tersenyum ke arah Kiah dan Harun, manakala Yati bingkas bangun membotot lakinya.
"Roti, Mak Aji?"
"Tak naklah aku. Kenyang lagi. Minum je cukup." Balas Wanita yang Ramli panggil Mak Aji itu. Bakul dan payung yang dijinjing, diletakkannya di atas meja.
"Baru pindah sini ke, tak pernah aku nampak?"
"Ye, Mak Aji. Baru dua bulan. Saya Harun. Ni Kiah, bini saya." Mereka saling bersalaman. Dari pandangan dan kata-kata, Harun tahu wanita tua itu pasti Hajah Kamariah.
"Hujan je sekarang... hai..." Keluh wanita tua itu.
"Aku ni tunggu bas. Nak pergi kampung seberang, membidan orang." Dia menyambung tanpa ditanya.
"Oh... jadi Mak Aji ni mesti Hajah Kamariah." Wanita tua mengangguk.
"Saya kawan Jalil. Kerja kat stesen keretapi sana. Bini dia masuk spital kata Majid, malam tadi... apa ceritanya, Mak Aji?"
"Entahlah... kuasa Tuhan kita mana tau. Apa yang Dia nak jadi, kita manusia takkan dapat nak tahan-tahan. Aku dah cuba. Bukan sekali tu aku bidankan Rosmah. Dah enam kali masuk semalam. Banyak perempuan yang aku dah bidankan..." Hajah Kamariah mengeluh perlahan, memandang sayu ke arah jalan raya.
"Teruk ke sakitnya si Rosmah?"
"Aku pun tak tau. Lepas membidan semalam, aku balik terus. Pagi ni baru tau Rosmah masuk spital."

Tiba-tiba terdengar suara riuh datang menghampiri warung Ramli.
"Sabar, Kordin. Sabar..." Laung seorang lelaki kepada seorang lelaki lain yang dipanggil Kordin.
"Ha, sini engkau. Sini engkau, orang tua puaka!!!" Jerit Kordin yang memegang parang ditangan. Meja tempat Harun, Kiah dan Hajah Kamariah duduk dihentaknya.
"Kau cakap Kamariah, kau yang bunuh anak adik aku malam tadi, kan??? Kau makan budak tu, kau makan uri, kau isap darah Rosmah. Bidan sial!!!!"

Hajah Kamariah yang terkedu dengan serangan itu cuba bersikap tenang. Bukan sekali ini dia dituduh. Bukan dia tak tau cakap-cakap orang. Selalu dia dengar. Di pasar, di kebun, di warung, di jalanan... di balik-balik tingkap suri-suri rumah... Dia dah lali. Tapi inilah pertama kali dia diserang.

"Anak Rosmah sihat masa aku sambut. Kau cakap apa ni?"
"Masa kau sambut, ye. Sampai hospital, Rosmah nazak. Anaknya mati."
"Bukan kerja aku. Kau jangan buat fitnah. Kalau mati kat hospital, tak ada kena mengena dengan aku."
"Ahhh kalau bukan kau siapa lagi. Kau sorang je bidan kat kampung ni. Aku memang dah lama perhatikan gerak geri kau. Kau memang bela polong. Polong!!!"
"Dah, dah Kordin. Letak parang tu. Aku panggil polis nanti."
"Ahhh korang apa tau. Esok lusa bini korang kena baru korang nak menangis, menyesal." Parang kontot dihayun-hayun ke muka Ramli yang cuba memenangkan. Beberapa orang lelaki termasuk Harun cuba memegang Kordin, bimbang akan terjadi pertumpahan darah.
"Sabar, bang. Kita siasat dulu." Kata Harun. Kiah dan Yati saling berpelukan menyaksikan adegan tersebut.
"Kau siapa?!! Orang baru kat sini? Kau apa tau? Apa pun kau tak tau!!!" Kordin yang naik angin menolak badan Harun ke tepi. Hampir parang ditangannya terkena tangan Harun.
"Latak parang tu, Kordin!" Lelaki yang datang dengan Kordin tadi mengherdik.
"Jalil bagitau aku malam tadi, dia nampak benda tu terbang atas bumbung rumah sebelum pergi hospital. Apalagi kalau bukan polong orang tua puaka ni!!!"
"Astagfirullah... bawak-bawaklah mengucap Kordin."
"Benda terbang atas bumbung, entahkan burung, entahkan tupai. Kau ingat yang bukan-bukan, sebab tu kau nampak yang bukan-bukan."
"Ahhh aku tau polong. Tupai, burung bukan macam tu dia terbang. Kenapa, cakap dengan aku kenapa tempat uri ditanam tu kena bongkah? Uri hilang? Sapa korek? Siapa yang makan? Babi hutan?"
"Memang pun banyak babi hutan belakang rumah si Jalil tu, apa yang nak diherankan?" Ramli yang mula hilang sabar menjawab soalan-soalan dan pernyataan merepek Kordin.

Perlahan-lahan Hajah Kamariah berdiri dengan bakul dan payung dijinjing di kedua belah tangan. Mata tuanya memandang tepat-tepat ke dalam mata Kordin yang dipegang Ramli, Harun dan dua orang lelaki lain. Kemudian mata tua yang kemerahan itu memandang satu persatu muka-muka yang ada di warung Ramli. Orang-orang yang ada di pasar mengelilingi warung tersebut, menyaksikan pertelingkahan yang sedang berlaku.

Hajah Kamariah kembali menusuk mata Kordin yang bagaikan dipukau dengan pandangan tajamnya, membuat Kordin terdiam. Lelaki-lekaki termasuk Harun melepaskan cengkaman mereka dari badan Kordin. Parang yang dipegangnya Ramli ambil. Suasana menjadi senyap sunyi seketika. Semua orang terdiam. Hajah Kamariah yang sedikit bongkok itu juga diam, namun tangannya menyeluk bakul lalu sesuatu dihulurkan kepada Kordin sebelum dia berlalu meninggalkan warung Ramli, berjalan ke arah perhentian bas kecil yang dibina dari papan dan hilang dicelahan beberapa orang yang menunggu bas pertama pada hari itu.

"Kau tak ada bukti, Din." Kata lelaki yang cuba menyabarkan Kordin sewaktu dia menyerang Hajah Kamariah tadi.
"Kita semua tak ada bukti."
"Ni kali ke tiga hal yang sama terjadi." Kerusi ditarik lalu Kordin duduk. Dia melihat apa yang ditangannya. Benda yang diberi Hajah Kamariah.

Tiga helai daun sirih. Kordin meludah tanah.


SHARE THIS

Author:

Himpunan kisah-kisah misteri dalam hidup manusia dan juga hantu.

Previous Post
Next Post