Stesen Keretapi Lama : Pindah



Harun dan Kiah yang baru 8 bulan bernikah terpaksa berpindah apabila Harun diarahkan untuk bertugas di Utara. Pekan yang hanya mahu dikenali dengan nama pekan Lama itu menjadi habitat baru laki bini tersebut, adalah sebuah pekan kecil yang agak sunyi, dengan populasi sekitar 2000 penduduk. Tatkala senja melabuhkan tirai, hanya nyamuk dan kupu-kupu malam sahaja yang berani melebarkan sayap mereka manakala manusia yang tak bersayap terpaksalah duduk berdaulat dalam rumah sementara menunggu matahari menunjukkan muka. Ini semua disebabkan rasa takut pada kegelapan, suasana sunyi dan cerita-cerita tahyul masyarakat setempat lebih-lebih lagi stesen keretapi tempat Harun menjana kewangan yang tak seberapa.

Harun diberikan penginapan percuma di sebuah kuarters pekerja keretapi yang jaraknya tak berapa jauh dari stesen. Kuarters lima pintu itu hanya didiami sepasang suami isteri berbangsa India sebelum Harun dan Kiah berpindah ke pekan Lama. Tiga buah rumah lagi masih kosong. Menurut Muthu, jiran mereka, dah lama rumah-rumah itu kosong semenjak Jalil dan Maniam berpindah ke pekan, menyewa rumah lain. Bila ditanya mengapa mereka tidak hanya menetap di kuarters tersebut, jawab Muthu, "saya tara taulah... mungkin sebab itu orang sudah anak ramai, sekolah senang mau pigi, pekan juga duduk." Begitulah jawapan yang diberikan Muthu.  Alasan pekan dekat dengan sekolah, jadi mudah untuk keluarga-keluarga tersebut menghantar anak-anak mereka.

"Lu tara anak ka, Muthusami?" Tanya Harun.
"Tarak lah... sudah dua kali ada jatuh juga. Saya sudah takut," isteri Muthu, Manju menjawab tanpa teragak-agak.
"Ini perempuan banyak lemah. Satu bulan mengandung, pengsan sudah ada lapan belas kali."
Harun dan Kiah ketawa mendengar jawapan jiran baru mereka. Dihidangkan dengan capati dan kari ayam oleh Manju, petang itu mereka berempat duduk berbual di halaman, dalam acara suaikenal.

"Saya sini kirja sudah lama. Sudah 15 tahun. Saya satu orang saja sini kerja lama. Ramai lain dulu, sudah pindah. Tara tahanlah, ini pekan banyak sunyi, banyak boring. Saya kalu tara apa. Saya kampung tara jauh, seberang sana juga. Satu bas, 10 minit sudah sampai. Basikal kalu, pelan-pelan kayuh, 30 minit sampai. Saya banyak suka ini tempat. Tara bising." Terang Muthu.
"Lu memang sini asal ka, Muthu?"
Muthusami yang berambut kerinting dan nipis di tengah-tengah, menggeleng-gelengkan kepala.
"Ini saya bini punya kampung. Saya asal Ipoh. Sudah kawin sama Manju, saya kerja Ipoh, driver lori. Sudah dapat ini kerja, sini pindah. Saya bini mau dekat sama dia keluarga." Harun dan Kiah berpandangan dan bertukar senyum.
"Sama macam saya. Baru kawin sudah kena pindah."
"Lu mana kampung?"
"Kami sama-sama kampung dekat Melaka. Tanjung Keling."
"Banyak jauh sini mari." Kata Manju sambil mengisi cawan-cawan teh yang dah kosong.
"Apa boleh buat, mau cari makan. Ini kerja tak susah. Saya dulu kerja kilang saja. Sudah bertunang rezeki mari, dapat ini kerja. Dua tahun sudah cukup duit, saya kawin dia." Mereka berempat ketawa mendengar cerita Harun. Sememangnya Harun berharap benar dapat kerja tetap. Pernah dia cuba memohon untuk jadi askar dan polis tetapi tiada jawapan. Kerja di kilang walaupun lebih baik dari menganggur, tetapi pendapatan sangat kecil. Harun mahukan lebih dari itu. Dia mahu memberikan kehidupan yang nyaman buat Kiah, isterinya. Hasil usaha dan sabar, akhirnya Harun berjaya mendapat kerja yang sekarang.

"Betul-betul. Rizki mana-mana juga ada. Mau rajin, apa pun mesti jalan. Malas kalu, tara makan."
"Sini banyak tanah kosong. Itu belakang luorang boleh bikin kebun sayur juga. Saya sama Muthu tara beli sayur, sindiri tanam, sindiri makan," sambung Manju sambil menundingkan jarinya ke sebelah kiri rumah mereka yang subur dengan tanam-tanaman.
"Betul tu, cadangan yang baik. Kita pun boleh buat, Kiah. Nanti tak lah Kiah bosan, boleh sama-sama Manju tanam sayur, tanam bunga."

Kiah hanya mengangguk. Matanya memerhatikan sekeliling. Kuarters tempat mereka tinggal itu dibina khas untuk menempatkan pekerja-pekerja keretapi, entah berapa puluh tahun usianya, tidaklah tercapai di akal Kiah untuk mentafsir. Namun dari segi reka bentuk, sudah tentu ia tinggalan penjajah British dulu. Cat mengering dan memudar, tiada tanda-tanda dijaga baik oleh majikan. Namun keadaan dalaman rumah masih elok dan cantik. Kuarters itu agak besar, mempunyai dua bilik utama dan satu bilik kecil yang terletak di hujung rumah, berhampiran dapur yang luas. Di belakang bilik tersebut, letaknya bilik air dan jamban. Bilik kecil itu mereka jadikan stor untuk menyimpan barang-barang yang tidak dipakai.

Sewaktu berpindah masuk, rumah itu kosong dan sangat bersih. Menurut Muthu, dia dan Manjulah yang membersihkan rumah itu bila mendapat tahu mereka akan menyambut kehadiran jiran baru. Mereka rasa gembira dan senang hati kerana sudah lama hidup tak berjiran. Rumah terdekat terletak kira-kira satu kilometer dari kuarters tersebut. Memang jarang orang lalu di situ, kecuali yang menghala ke stesen keretapi.

"Ini stesen, banyak sunyi. Satu hari dua kali keretapi berhenti. Satu kali malam, jam 11.40. Petang satu keretapi Selatan mari, lebih kurang jam ampat itu macam dia sampailah."
"Ramai orang naik dari sini?" Tanya Harun.
"Turun naik, tara ramai. Malam tara siapa mau datang sana. Dulu ada warung, orang ramai duduk main dam minum kopi, tapi semenjak itu warung sudah tutup, sini banyak sunyi. Lu mesti bawa bekal, kawan. Sana air panas ada boleh masak, boleh bikin kopi, tapi makan lu sindiri bawak."
"OK, OK. Tak jadi hal. Bini saya banyak rajin masak. Banyak sedap. Eh, Muthu, tapi mengapa warung tu tutup? Dah lama ke tutup?" Tanya Harun, ingin tahu lebih lanjut tetang tempat kerja mereka.

Agak lama Muthu berdiam, sambil mengalih muka ke arah wajah Manju, dia berkata, "dulu itu Wak Karto punya kedai. Dia bini ada dua... satu dia kasi jaga itu warung. Satu lagi jaga kedai di pekan. Itu bini muda jaga warung punya nama Maya, sangat muda, banyak cantik. Indon mari. Ramai laki-laki datang mau cuba nasib. Itu Wak Karto sudah banyak tua... tara sesuai la." Muthu berhenti. Muka Harun dia pandang tepat-tepat. Harun mengangkat kening, mahu Muthu lanjutkan ceritanya.
"Sudah lama itu warung tutup. Ada kematian. Bini Wak Karto sana warung mati, kena bunuh.  Tapi tara tau siapa punya kirja. Itu malam juga Wak Karto mati, dalam bilik air, dia satu orang juga. Bini tua kena tangkap, polis syak itu Kamsiah bunuh mereka dua laki bini. Tapi saya tak rasa itu macam."
"Kenapa?"
Muthu menggeleng. Manju memegang tangan suaminya yang hitam berbulu.
"Sekarang tara tau lagi apa cerita. Itu Kamsiah masuk lokap banyak lama. Dengar cirita, dia jadi gila, masuk mental hospital. Itu pasal itu warung kasi tutup. Kedai runcit Wak Karto juga tutup. Mereka anak tak ada. Eh.. eh... tidak la.. saya dengar ada satu anak sama Kamsiah bini tua, anak laki-laki, sudah besar tapi tak pernah balik ini pekan. Lain saya tara tau. Cirirta lama lah..."
"Kalau bukan Kamsiah yang bunuh, sapa yang bunuh dorang?" Kiah yang yang hanya mendengar dan mendiam agak lama menyuarakan kemusykilannya.
"Saya tara tau... ini kes dia juga lama sudah. Polis percaya itu Kamsiah bunuh. Tapi saya sama Kamsiah lama kenal. Banyak bagusla itu kaka. Dia hati sangat baik. Saya tau dia tak ada dendam sama Karto atau Maya. Ini ada orang dengki atau mau curi, atau apa saya tak taula."

Buat beberapa ketika mereka semua terdiam. Masing-masing dengan fikiran masing-masing. Harun dengan tanda tanya, Kiah dengan rasa tak sedap hati, apa lagi bila memandang sekeliling yang suram dan sepi. Namun jauh di fikiran Manju yang masih memegang tangan Muthu, ada sesuatu yang tergambar di matanya bersama cerita yang Muthu singkapkan kepada jiran baru mereka.

Dalam sesi suai kenal antara ke dua keluarga tersebut, sempat juga Muthu menerangkan bahawa berhampiran dengan kuarters tersebut, terdapat kubur Islam yang bersebelahan dengan kubur Cina. Tak berapa meter dari kubur Cina ada kubur Kristian dan di sebelah kubur Kristian ada kubur Hindu. Sungguh majmuk kubur-kubur yang terdapat di pekan Lama. Kiah masih leka memerhati sekeliling. Ternyata tempat itu aman dengan pokok-pokok menghijau di sekeliling amat  menyegarkan suasana, namun Kiah rasa tak sedap hati. Entah mengapa, dia merasakan bagai ada sesuatu yang ganjil di tempat yang baru mereka diami itu.



Pejam, celik, berak, mencekik, sedar tak sedar dah dua bulan Harun bekerja di situ, maka dah dua bulan jugaklah mereka laki bini tinggal di kuarters tersebut tanpa sebarang masalah melanda atau gangguan baik dari bangsa jin atau manusia, walaupun sesekali Kiah merasa seram sejuk tanpa alasan lebih-lebih lagi bila Harun kerja malam. Sering dia mengalami peristiwa bulu roma meremang, terutama bila di dapur. Oleh sebab itu, seboleh-bolehnya Kiah mengelak untuk ke dapur di waktu malam jika Harun bertugas kerana dia tak dapat melawan rasa takut setiap kali melintasi bilik stor yang kosong, lebih-lebih lagi bila dia berdiri dekat dengan tingkap dapur berhampiran dengan sinki. Namun, rasa takut itu terpaksa jugak dilawan tatkala hasrat untuk melepaskan hajat tak dapat ditahan-tahan.

Bagi Harun pula, setiap hari berulang alik ke tempat kerja dan terpaksa mengharung kubur-kubur yang di ceritakan Muthu dengan mengayuh basikal tua, satu-satunya kenderaan yang dia miliki, dah menjadi satu perkara biasa. Tak ada rasa takut atau bimbang walaupun kadang-kadang terlintas juga di fikiran Harun tentang cerita-cerita yang pernah dia dengar tentang pekan yang sunyi itu. Menurut Muthu, orang-orang di situ terlalu mempercayai kisah tahyul, sedangkan dia sudah lama tinggal dan bekerja di situ, tak pernah sekali pun terjadi kejadian pelik. Harun cuba melupakan cerita-cerita yang dia dengar tetapi Kiah pula selalu meluahkan rasa bimbang dan takut terutama apabila malam menjelang. Disebabkan terlalu kerap Kiah merungut tentang rasa tak sedap hati kepada laki tercinta, akhirnya Harun menghadiahkan bininya  seekor kucing untuk dijadikan teman. Kucing itu mereka namakan Borhan, atau nama singkatnya, Bob.

"Ni dah ada Borhan, Kiah jangan risau-risau lagi. Tak ada apa yang nak ditakutkan. Tempat ni sunyi, sebab tu rasa pelik sikit. Standard la tu. Kalau jadi apa-apa, Kiah ketuk je pintu rumah Manju. Tak pun Kiah lari terus laju-laju kat abang." Harun cuba memujuk isterinya dengan gurauan, yang hanya dibalas dengan keluhan.

Malam itu, malam pertama Harun memulakan shif malam selepas seminggu bekerja shif petang. Seperti di tempat lama, Harun bekerja ikut shif, iaitu malam, pagi dan petang.
"Abang tak boleh tukar shif ke? Kiah tak sedap ati la..."
"Ala... tak de pe lah sayang. Kan Borhan ada."
"Kiah pergi pekan semalam, ada makcik dekat pasar tu cakap hati-hati duk sini...."
"Shhhhh... dah, jangan didengar cakap-cakap orang. Muthu dengan Manju dah berbelas tahun duk sini, tengok, tak jadi apapun." Harun memotong kata-kata yang ingin Kiah luahkan. Dia sebenarnya dah bosan dengan cerita-cerita hantu, buah mulut cerita penduduk setempat.
"Sayang, percayalah cakap abang." Harun mengucup dahi isterinya sebelum keluar memulakan tugas untuk malam tersebut.

Jam sepuluh malam, Harun memulakan tugas yang berakhir pada jam 6 pagi. Sewaktu keluar dari rumah, dia terpaksa meredah hujan renyai. Mujur tak bertukar lebat, kalau tidak basah kuyuplah dia sesampai di stesen.

"Ayooo... hujan sudah turun," rungut Muthu sebaik saja Harun sampai.
"Tadi renyai je Muthu, sekarang dah mula lebat."
"Saya tara boleh balik la ini macam, kena tunggu reda."
"Ha, eloklah tu Muthu, boleh lu teman saya."
"Apa makan lu bawa ini hari?"
"Nasik sama sambal, sikit sayur. Lu lapar ka?"
"Tara... ini saya ada lagi capati, tara habis makan. Nanti saya bikin kopi, boleh makan sama-sama. Sini ada dua keping lagi capati sama kari sayuran."
Harun tersenyum. Hujan semakin lebat. Sebentar kemudian, Muthu keluar dengan membawa dua cawan kopi.

"Itu kerajaan cakap mau naik ini tempat, sudah lama cakap saja, apa pun tara bikin. Ini stesen, lu tengok Harun, sudah banyak lama. Ini British tinggal dulu."
Harun mengakui kata-kata Muthu. Stesen keretapi itu memang suram. Terletak di lembah. Tangganya usang. Rumput dan lumut membiak dengan subur tanpa gangguan manusia. Hanya sebulan sekali Majlis Daerah datang membersihkan kawasan. Kadang-kadang dua bulan sekali. Perkerja-pekerja di situ pula terpaksa mengamil alih tugas-tugas yang diabaikan Majlis Daerah demi menjaga kebersihan stesen.

"Esok Majid kerja pagi. Maniam sama lu petang. Sepatutnya ini malam saya kerja sama Jalil. Tapi bini dia beranak."
"Ya, ya, saya tau. Itu Jalil sudah banyak anak. Ini sudah enam."
"Kalau dua orang kerja malam, tara sunyi. Ini first time saya sorang jaga. Ada lain juga la rasa."
"Ayooo... lu apa mau takut? Saya selalu jaga malam sorang. Tara apa. Keretapi berenti pukul 11.40, orang kasi naik, kasi turun, kerja sudah selesai. Boleh tidur. Tara susah. Lu jangan ingat macam-macam."
"Lu lain, Muthu. Lu sudah lama, sudah faham ini tempat. Saya baru dua bulan."

Hujan yang mencurah kian reda. Sudah hampir sebelas suku malam. Muthu pulang bersama saki baki hujan lebat yang tersisa. Sunyi mula terasa, hanya nyanyian cengkerik dan katak memecah suasana yang bisu. Lagi dua puluh lima minit keretapi dari Selatan akan berhenti. Tiada penumpang yang menunggu untuk naik, sama seperti selalu. Jarang orang naik keretapi di situ, ramai yang lebih selesa menaiki bas untuk ke bandar-bandar lain, walaupun terpaksa bertukar dari satu pekan ke pekan lain untuk ke pekan lain, kerana di pekan Lama, tiada perkhidmatan bas ekspres, kecuali bas loncat buruk yang berkhimat tiga jam sekali memasuki pekan sunyi itu. Bandar terdekat yang dibawa bas loncat tersebut terletak kira-kira 60 kilometer dari pekan Lama. Dari situ barulah mereka dapat menggunakan perkhidmatan bas ekspres untuk ke destinasi seterusnya.

Bagi Harun, tiada apa beza bertugas di Stesen Keretapi Pekan Lama, kecuali suasana sunyi amat ketara berbanding tempat kerja dulu. Di pekan tempat Harun bertugas dulu, stesen keretapi terletak betul-betul dalam pekan, tidak seperti stesen keretapi Lama yang terselit di pinggir pekan. Lengang. Hanya radio transistor menjadi peneman. Kalau kerja shif siang, tidaklah terasa sangat sunyinya walaupun lengang dengan kehadiran manusia. Tetapi bila kerja shif malam, ada satu perasaan ganjil Harun rasakan, apatah lagi inilah kali pertama dia bertugas sendirian pada waktu malam.

Sejenak Harun terkenangkan Kiah. Hujan-hujan begini, alangkah seronoknya jika dapat tidur dalam pelukan isteri tercinta. Harun tersenyum sendirian.
"Ahh, mengapa aku tak ajak Kiah teman malam ni? Seronok jugak ada kawan berborak…" Bisik Harun dalam hati. Seminggu ini dia akan bertugas seorang diri. Harun berhasrat untuk mengajak Kiah menemaninya pada esok malam, dan kalau Kiah suka, tiap-tiap malam pun Harun mahu. Harun tersenyum lagi. Pasti Kiah dah lena tidur bersama Borhan, anak kucing berwarna putih yang Harun kutip di pasar. Setelah dibersihkan, dimandikan dan diberi makan, Borhan kelihatan sangat comel walaupun masih kurus. Hidup dipasar, asyik dikejar kucing-kucing dewasa, merebutkan daging dan ikan busuk. Borhan yang kecil dan tidak beribu Harun temu sewaktu membeli roti canai di gerai Ramli. Pagi yang mendung itu, sementara menunggu roti canai, Harun menghirup teh tarik. Waktu itulah anak kucing berwarna putih itu datang menggesel di kaki Harun.

"Kucing kurap tu, maknya dah mati kena pukul dengan cina jual ikan sana tu ha," kata bini Ramli, Yati sambil mulutnya dimuncungkan ke arah kedai toukey Lim bila melihat Harun menghulurkan secebis roti canai kepada anak kucing itu.
"Kesian... Saya nak bawak baliklah. Boleh, kan?"
“Apa pulak tak bolehnya. Tak sapa peduli kucing tu.” Harun gembira dan kegembiraan itu mahu dibawa pulang ke rumah untuk Kiah.
"Eh, Run... kau duduk kuarters tu tak ada apa jadi ke?" Yati menarik kerusi dan duduk di depan Harun sambil mengelap meja dengan sehelai kain buruk yang dah sama warnanya dengan warna kopi susu. 
"Jadi apa Ti? Elok je aku duduk dah dua bulan."
"Tak ada seiapa berani duk kuarters puaka tu..."
Kata-kata Yati disekat bila Ramli datang menghampiri mereka dengan bungkusan roti canai yang telah siap.
"4 ringgit semua sekali." Kata Ramli sambil menjeling ke arah bininya. Yati terus bangun meningglkan meja, meneruskan kerja-kerja mengemas meja-meja lain.
"Orang-orang kat sini memang suka cerita hal yang tak bukan-bukan. Tak payah kau dengar sangat," kata Ramli. Kini gilirannya mengambil tempat duduk di meja Harun.
"Tapi aku kesian bini aku tu asik mengadu takut je bila aku pegi kerja... Kesian pulak aku."
"Apa yang ditakutnya? Pernah kena kacau ke?"
Harun menggeleng. "Dia cuma cakap, dia rasa tak sedap hati."
"Biasalah tempat baru. Ambik masa nak sesuaikan diri. Baru kawin lak tu."
"Tapi aku heran gak... macam tak ada siapa pedulik hal kuarters tu. Muthu dengan Manju je yang jaga rumah-rumah tu semua."
"Muthu?" Tanya Ramli. Harun mengangguk.
"Kata dia, dia sorang je lama tinggal kat situ. Yang lain pindah sebab nak duduk dekat dengan pekan, senang anak-anak nak pegi sekolah."
Ramli tak menjawab.
"Bang, roti telur tiga. Roti kosong lima." Yati datang menghantar pesanan yang baru diterima. Ramli bergegas semula meneruskan kerjanya menebar roti, meninggalkan cerita Harun tanpa sebarang jawapan atau ulasan.

BABAK 2 : Tetamu Malam


SHARE THIS

Author:

Himpunan kisah-kisah misteri dalam hidup manusia dan juga hantu.

Previous Post
Next Post