Harga Diri


"Kau ingat aku pilih jadi macam ni?"
Lelaki muda itu diam. Hasnah yang nyata empat lima tahun lebih tua dari dia mencapai kotak rokok di atas meja kecil berhiaskan bunga plastik yang berhabuk sini sana. Bilik kecil tak berhawa dingin itu hanya disejukkan dengan kipas dinding yang dah penat berpusing kiri kanan. Mujur ada tingkap kecil, dapatlah bilik sempit serba kekurangan itu bernafas walaupun tak cukup udara.
Kepulan asap yang ditiup Hasnah membuat Shahril terbatuk.

"Kalau tak nak batuk, kau join aku."
Kotak rokok murahan dicampak Hasnah kepada Shahril. Nak tak nak Shahril setuju, mahu mencuba.
"Apa sebab kau datang langgan aku kalau kau tak nak servis aku? Kau reporter, nak buat kajian? Atau kau disuruh cikgu kau dari Universiti mana untuk tulis kisah pelacur busuk macam aku ni?"

Shahril gementar sebenarnya. Pertama kali dia ke situ. Dia bukan wartawan. Memang dia pelajar tapi tak ada pensyarah yang suruh dia buat kajian tentang pelacuran. Dia ke situ atas kehendak sendiri. Rokok seludup Shahril hisap dan hembus pelan - pelan. Dia tau waktu berjalan. Dia dah bayar untuk sejam sahaja.

"Saya.... saya... sebenarnya saya nak cuba, kak."
Pengakuan Shahril Hasnah sambut dengan ketawa panjang separuh mengilai.
"Kau takde makwe?"
Shahril mengggeleng.
"Jadi kau teruna lagi?"
Dia mengangguk.
"Jangan jadi bodoh. Balik lah. Sini kau tak dapat apa-apa. Kalau kau mendesak sekalipun aku takkan bagi."
"Kenapa?"
"Sebab kau bodoh. Dah baliklah... jangan rosakkan hidup kau. Kau ingat aku jadi macam ni sebab aku rela? Aku kena tipu kau tau???!!! Jantan tipu aku. Cinta konon.  Ke sini diseretnya aku..."
"Tapi akak boleh keluar..."
"Bukan senang. Hidup aku dah hancur, kau tau? Hancur, tunggu jadi debu je, tunggu hilang dalam angin."
"Saya nak bawak akak keluar..."
Hasnah ketawa lagi.
"Sejam dah habis. Mana baki payment aku?"

•••••
Selama dua bulan, tiap minggu, kadang-kadang selang dua hari Shahril datang jumpa Hasnah. Bukan nak apa-apa, cuma berbual. Shahril rasa aman bila berbual dengan Hasnah. Dia sendiri hairan, tak ada jawapan untuk apa yang dia rasakan. Sama seperti hari pertama, mereka hanya berbual-bual. Bagi Hasnah melayan Shahril adalah duit mudah dan dalam hati dia sebenarnya berterima kasih kerana Shahril tak macam jantan lain yang rakus dan laparkan seks. Seminit pun tak lepas. Rasa rugi sebab berbayar.

"Saya sunyi. Saya tertekan dengan kehidupan. Memang saya tak penah putus duit. Itu pun sebab mak bapak saya kaya. Kalau tidak saya mesti jadi lagi teruk dari ni."
"Kau takde kawan?"
"Kawan makan kawan... ramai, kak. Semua pasal duit saya, kereta saya, sebab apa yang saya ada, bukan sebab diri saya... Gunakan saya. Belakang saya dorang tikam. Khianat. Susah nak percaya lagi."
Shahril mengeluh. Sekotak Marlboro dikeluarkan dari kocek kemeja. Dihulurkannya kepada Hasnah dan mereka mengepung bilik sempit itu dengan asap. Langsir yang menirai tingkap kecil dah sebati warnanya dengan warna asap. Shahril membandingkan keselesaan yang dia kecapi dengan mudah hanya kerana bertuah dilahirkan dalam sudu perak. Semua dia ada, apa saja keinginan tanpa susah payah dia perolehi, tapi kekosongan jiwa, hanya dia yang rasa.
"Aku miskin. Jiwaku daif..." Kata hati Shahril. Dia mahu Hasnah tahu.

"Kak... saya takde masalah nak jumpa akak hari-hari macam ni. Tapi sejam tak cukup."
"Kalau camtu kau bayar lah dua jam atau tiga atau sepanjang malam ikut suka kau. Aku tak ada masalah. Borak camni lagi senang kerja aku daripada menderita kesakitan dirodok jantan sial, jantan hodoh ntah dari mana asal."  Dengan jujur Hasnah memberi cadangan. Shahril mengangguk.

"Malam minggu ni, saya nak seharian... kalau boleh semalaman, sepanjang minggu dengan akak. Tapi kat luar bilik ni. Berapa je akak mintak saya akan bayar."
Hajatnya disampaikan. Dah lama Shahril fikirkan perkara ini. Niatnya nak bawak Hasnah makan dan lihat dunia dia. 
"Aku tak dapat janji. Tapi bagi lah nombor telefon.  Aku call nanti, jadi tak jadi."

•••••

Setelah memikirkan dengan hati-hati, Hasnah menghubungi Shahril pada malam Sabtu,  menyampaikan berita gembira buat Shahril. Esoknya, seperti yang telah dijanjikan, Shahril menjemput Hasnah yang dah pun menunggu di kaki lima tempat dia menjaja diri.

Bagi Shahril, Hasnah kelihatan begitu bersih pada malam itu, tak seperti malam - malam sebelumnya di mana dia kelihatan kusam dan busuk. Gincu bibir merah berdarah dengan calitan solekan selekeh dimuka. Bersalut kan kain pendek dan blouse pasar malam nipis tanpa lengan. Walau begitu, Shahril tetap mahu meneruskan pertemuan.
Dan malam itu berbeza. Hasnah langsung tak kelihatan macam pelacur sebaliknya dia kelihatan seperti seorang gadis kampung dengan solekan nipis dan baju kebaya merah hati.

"Terima kasih sekali lagi, kak... saya hargai sangat-sangat kesudian akak ni."
"Panggil aku Has."
Shahril tersenyum.
"Has boleh panggil saya Aril."
Mereka bertatapan buat seketika. Senyum.

Malam itu bagi Hasnah paling permai. Tak pernah dalam hidup dia rasa begitu apalagi dilayan serba mewah begitu. Restoren lima bintang, kereta mewah. Lelaki yang bermaruah.... dia terharu.

"Has tak nak hidup camni?  Maksud saya .... bebas macam ni... hmmm... walaupun tak mewah, tapi ..."
Payah Shahril untuk menyuarakan fikirannya, bimbang jika Hasnah tersinggung. Namun begitu  dengan pantas Hasnah mengerti akan maksudnya lalu  melengkapkan kata-kata Shahril yang tergantung.

"Tapi bersih? Tak kotor. Tak melacur? Kan? Itu yang kau nak cakap, kan?"
Nak tak nak Shahril mengakui kebenarannya.
"Aku takde kelulusan. Aku sekolah takat tingkatan tiga, kena kerja support adik-adik aku. Ada tiga. Tapi aku bangga, dorang semua sekarang berjaya belajar tinggi. Ada kerjaya. Hidup senang, ada keluarga. Tapi kau tau apa? Tak sorang yang tau pengorbanan aku apalagi mengenang dan menghargai. Aku macam sampah dorang buat." Hasnah menundukkan muka, cuba menyorokkan wajah pilunya.
"Aku tak harap apa-apa balasan. Cukuplah sekadar rasa hormat. "

Shahril yang duduk di samping Hasnah merangkul bahu perempuan tersebut lalu mengusapnya, lembut. Dia membiarkan Hasnah meluahkan perasaan. Shahril tahu dalam diri Hasnah ada harga yang tak ternilai. Bagi Shahril, Hasnah adalah permata yang terbenam jauh di perut bumi dan dia sedang menggali untuk mendapatkan permata tersebut, untuk digilap dan disiram dengan air mawar. Untuk disimpan dalam balang kaca penghias kamar sunyi hidupnya.

"Aku kerja kedai bunga. Berapa sen sangat ... akhirnya aku jumpa Lazim. Dia bagi aku harapan. Aku ternoda dan dialah yang bawak aku dalam hidup jahanam ni. Aku takde jalan keluar. Aku tertekan tapi tak sape tau. "
"Saya tau Has, dan saya peduli."

•••••

Beberapa waktu pun berlalu. Lama selepas malam tu Shahril tak jenguk Hasnah. Hasnah tertanya-tanya. Dia mula bimbang. Talian telefon Shahril tak lagi berfungsi. Dalam keluhan Hasnah pasrah. Nasib pelacur seperti dia... jantan datang dan pergi hanya untuk memuaskan nafsu bukan merawat jiwa lukanya. Dia fikir Sharil lain dari jantan - jantan lain namun terbukti sama kecuali Shahril tak menggunakan dia untuk memenuhi kehendak nafsu. Hasnah malu pada diri sendiri bila mengenangkan sekelumit harapan yang berbunga dalam hati saat Shahril di sisi. Harapan yang menjadi keluhan kering, membawa kakinya menjejak bumi.

Sewaktu mencari rezeki pada suatu malam, ketika dia berdiri di kaki lima bawah lampu malap yang dipenuhi tarian kelekatu dan unggas-unggas malam, sebuah kereta mewah berwarna merah menjalar dengan cermin hitamnya. Ramai pelacur tak kira tua muda, berlari-lari mendapatkan kereta tersebut dengan harapan untuk mendapat habuan lumayan. Hasnah tak teruja. Fikirannya asyik terkenangkan Shahril. Lagipun, kereta itu bukan kereta Shahril. Seingat Hasnah, Shahril memandu kereta berwarna hitam. Kereta mewah itu berhenti. Pintu dibuka. Shahril keluar menghampiri Hasnah, mengabaikan yang lain.

"Maaf lama saya tak contact. Ada exam besar dan handphone saya kena curik." Bahu Hasnah dicuit.
Dia berpaling ke arah Shahril yang berdiri di belakangnya, mengukir senyum. Hati Hasnah teruja dengan kejutan itu. Tanpa sedar dia memeluk Shahril.

"Saya datang malam ni bukan nak langgan akak tapi saya nak bawak akak keluar. Ikut saya... banyak saya nak cerita dan saya.... saya rindu... rindu sangat nak borak dengan akak."
Muka Sharil Hasnah pandang tepat - tepat. Dia nampak cahaya keikhlasan di wajah lelaki itu.
"Saya nak jaga akak... kalau boleh sampai saya mati."

Hasnah kehilangan kata-kata. Hanya mampu memeluk Shahril dengan esakan dan linangan airmata syukur yang jatuh ke bahu Sharil yang mengucup lembut rambutnya.
Tak henti Hasnah mengucap syukur kepada Tuhan kerana doanya di setiap pagi, tengah hari, petang, senja dan malam selama ini akhirnya terjawab.


SHARE THIS

Author:

Himpunan kisah-kisah misteri dalam hidup manusia dan juga hantu.

Previous Post
Next Post